fb fb fb fb fb

ADUN Galas mahu kerajaan cari alternatif, mudahkan penebusan e-MADANI

Foto FB ADUN Galas

GUA MUSANG, 18 Disember- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mahu kerajaan Persekutuan mencari alternatif berhubung cara memudahkan urusan pendaftaran bantuan e-MADANI.

Usaha itu akan membantu golongan yang tidak ada kemudahan seperti kaedah pembayaran semasa iaitu fungsi e-dompet, khususnya masyarakat di pedalaman dan komuniti orang asli.

"Saya mencadangkan kita berkolaboratif dengan pihak agensi kerajaan Persekutuan. Mungkin boleh diadakan secara berkelompok atau serentak untuk kita bantu mereka yang belum berjaya menebus e-MADANI ini.

"Saya baru sahaja lepas bermesyuarat bersama para Tok Batin dan penghulu. Rata-rata mereka memahami kesulitan itu cuma mereka minta akan ada kumpulan yang akan turun padang, menyantuni mereka untuk dapatkan penebusan e-MADANI," kata Mohd. Syahbuddin kepada pemberita.

Sementara itu, tinjauan RTM di kawasan orang asli Gua Musang mendapati penduduk melahirkan rasa syukur dengan bantuan e-MADANI yang diberikan.

Bantuan tersebut digunakan bagi tujuan pembelian barang makanan ketika musim tengkujuh ini.

Bagaimanapun, menurut Penghulu Pos Brooke, Rian Bujang menjelaskan bahawa masih terdapat warga emas yang tinggal di pedalaman, gagal mendaftar dan menerima manfaat itu akibat kekangan ketiadaan perkakasan teknologi dan pendedahan berkaitan bantuan itu.

"Inisiatif e-MADANI ini, bagi saya adalah satu kebaikan. Ada yang sudah berjaya mendaftar dan menebus bantuan itu, namun ada juga golongan kami ini yang tidak arif menggunakan telefon pintar atau tiada telefon pintar. Saya mohon kerajaan dapat memudahkan urusan mereka dengan menyerahkan ia secara tunai, khususnya kepada mereka yang berada di pedalaman," kata Rian kepada pemberita.

"Macam mak cik ini, kita tiada telefon. Ada telefon pun bukan makcik tahu nak guna. Saya harap kerajaan kalau nak tolong, mereka buat seperti kaedah BR1M, boleh ambil di bank. Orang muda mungkin dia pandai lah, tetapi kami yang sudah tua ini memang tak tahu," kata Kamariah Long, penduduk.

Golongan itu menzahirkan harapan agar pihak kerajaan dapat memberi bantuan e-MADANI secara tunai kepada mereka yang mempunyai kesulitan untuk mendapatkannya.

e-MADANI ialah inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk penerima yang layak dengan pendapatan tahunan di bawah RM100,000.

Program itu dianggarkan memanfaatkan kira-kira 10 juta rakyat Malaysia dalam bentuk kredit e-dompet RM100 yang boleh digunakan untuk pembelian melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM