927 anggota, 556 aset APM Kedah siap sedia hadapi MTL

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 27 Oktober – Seramai 927 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri akan digerakkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesiapsiagaan APM Kedah dengan 556 aset operasi darat dan air bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut 2026/2027.
  • 90 kawasan hotspot banjir dikenal pasti termasuk Lembangan Sungai Kedah dan Lembangan Sungai Muda; kawasan rendah serta berhampiran sungai berisiko.
  • Awasi amaran MetMalaysia; pindah segera jika paras air naik, jangan berlengah atau tunggu malam; bawa dokumen penting dan ubat-ubatan.

Pengarah APM Negeri Kedah, Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, persiapan turut melibatkan kesiapsiagaan 556 aset operasi darat dan air bagi menghadapi musim berkenaan yang dijangka bermula hari ini (Selasa) sehingga Mac 2027.

Tambahnya, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 3,658pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kedah dengan keseluruhan aset darat serta air berjumlah 6041 unit.

Sebanyak 90 kawasan ‘hotspot’ banjir telah dikenalpasti di Kedah termasuk Lembangan Sungai Kedah melibatkan Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena.

Manakala Lembangan Sungai Muda melibatkan Daerah Kuala Muda, Baling, Sik dan Kulim.

“Nasihat kami selaku Sekretariat Pengurusan Bencana, agar masyarakat khususnya yang tinggal di sekitar lembangan sungai sentiasa berwaspada dan peka terhadap amaran semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa, termasuk ramalan cuaca daripada MetMalaysia.

“Sekiranya terdapat risiko kenaikan paras air di kawasan terlibat, penduduk diminta segera berpindah. Jangan berlengah untuk berpindah kerana tindakan sedemikian boleh membahayakan keselamatan diri.

“Jangan tunggu sehingga malam untuk berpindah. Ada penduduk yang enggan berpindah pada waktu siang, tetapi hanya mengambil tindakan apabila keadaan semakin buruk pada waktu malam. Situasi ini boleh meningkatkan risiko keselamatan, bukan sahaja kepada mangsa, malah kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Mohd Bukhori ditemui pemberita selepas meninjau paras air Sungai Kedah di sini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk supaya membawa dokumen-dokumen penting termasuk bekalan ubat-ubatan dan bekalan asas bersama.

Berdasarkan maklumat daripada MetMalaysia, fasa awal MTL ini dijangka akan menerima tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.