Tadbir urus GLC, GLIC perlu diperketat, cegah salah guna kuasa

Datuk Seri Anwar Ibrahim / RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Kerajaan bercadang memperkenalkan rang undang-undang (RUU) yang khusus bagi memperketat tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mencegah penyalahgunaan kuasa serta kepentingan peribadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh tadbir urus GLC dan GLIC dengan had kuasa jelas serta akauntabiliti lebih ketat kepada mereka yang diberi tanggungjawab.
  • Ambil pengajaran daripada kelemahan terdahulu seperti 1MDB, FELDA dan Tabung Haji untuk memperbaiki sistem sedia ada.
  • Tangani tentangan daripada kelompok elit; perlaksanaan perubahan memerlukan tekad politik yang kuat.
  • Tegaskan bahawa entiti milik kerajaan bukan hak milik peribadi atau keluarga mana-mana pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memastikan entiti milik kerajaan diurus secara telus dengan had kuasa yang jelas serta akauntabiliti lebih ketat terhadap pihak yang diberi tanggungjawab.

Beliau berkata kelemahan tadbir urus dalam kes terdahulu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Tabung Haji (TH) perlu dijadikan pengajaran bagi memperbaiki sistem sedia ada.

“Setakat ini, kita tidak dapat mengenal pasti pelanggaran seperti yang kita warisi dahulu dalam syarikat-syarikat yang saya sebutkan tadi. Mudah-mudahan perkara ini dapat kita kawal, walaupun tidak mudah.

“Kadangkala kelompok elit, sama ada dalam politik atau kalangan usahawan, sudah terbiasa dengan budaya tertentu. Apabila kekangan dan sekatan diperkenalkan, tentangan yang timbul juga kuat. Sebab itu, ia memerlukan tekad politik,” katanya pada sesi Waktu PertanyaanPertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengenai langkah memperkukuh tadbir urus korporat GLC dan badan berkanun bagi mengelakkan berulangnya episod penyelewengan melibatkan institusi kerajaan.

Beliau berkata undang-undang khusus itu perlu menetapkan kaedah tadbir urus yang lebih ketat bagi GLC dan GLIC termasuk memperjelas had kuasa serta meningkatkan akauntabiliti individu yang diberikan tanggungjawab.

Tegasnya, entiti milik kerajaan tidak boleh dianggap sebagai hak milik peribadi atau keluarga mana-mana pihak.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan GLC dan GLIC yang diberi mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam perlu menjadi contoh dalam amalan tadbir urus baik.

“Memang benar, walaupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merupakan entiti milik kerajaan, ada antaranya yang diberi mandat untuk menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam seperti Tabung Haji.

“Sebab itu, prinsip tata kelola dan tadbir urus perlu diperketat. Budaya Melayu dan Islam sepatutnya menjadi contoh, bukannya institusi yang membawa nama Bumiputera atau Islam mempunyai tadbir urus lebih buruk berbanding syarikat lain,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelaksanaan inisiatif Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) masih mengikut jadual dengan tahun pertama memberi tumpuan kepada perancangan, kajian dan penelitian berdasarkan pengalaman lalu.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat secara teliti, manakala campur tangan tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaannya tidak dibenarkan.

Sebaliknya, pemilihan projek perlu ditentukan oleh badan pelaburan yang dianggotai golongan profesional dan pakar berkaitan bagi memastikan ketelusan serta integriti proses membuat keputusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.