fb fb fb fb fb

787 PATI di Negeri Sembilan daftar Program Repatriasi Migran

Foto RTM

SEREMBAN, 15 Mac - Seramai 787 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mendaftar bagi program Repatriasi Migran di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dalam tempoh 13 hari bermula 1 Mac lalu.

Menurut Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang daripada jumlah itu, seramai 755 pendatang dewasa dan 32 kanak-kanak didaftarkan dengan warga Indonesia mencatatkan bilangan PATI paling tinggi iaitu seramai 443 orang diikuti warga Bangladesh iaitu seramai 118 orang.

"Saya mohon supaya warga-warga asing di luar sana yang sekarang ini mungkin sudah tamat tempoh tinggal atau memasuki Malaysia dengan bukan cara yang sah agar tampil dan mengambil kesempatan untuk balik ke negara asal", katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.

Program Repatriasi Migran dilaksanakan yang dilaksanakan kerajaan bertujuan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal secara sukarela.

Sementara itu, mengikut statistik tahun 2023 sebanyak 699 operasi telah dilaksanakan oleh JIM Negeri Sembilan membabitkan keseluruhan tangkapan seramai 1773 PATI dan 59 majikan.

Lima “hotspot” dikenalpasti di negeri itu melibatkan kawasan Seremban dan Nilai dengan keseluruhan pelaksanaan sebanyak 563 operasi membabitkan 1341 tangkapan PATI serta 44 majikan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD