60 penduduk terjejas banjir Manjoi terima bantuan tunai segera

Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun

IPOH, 18 Februari – Seramai 60 penduduk terjejas banjir di Manjoi, Perak menerima sumbangan wang tunai secara sekali beri daripada kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun.

RINGKASAN BERITA AI
  • 60 penduduk terjejas banjir di Manjoi menerima sumbangan wang tunai sekali beri daripada kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun.
  • Pendaftaran penerima masih berjalan dan bantuan akan disalurkan serta-merta setelah senarai serta permohonan lengkap diterima.
  • Kerajaan negeri merancang langkah jangka pendek penyelenggaraan infrastruktur dan projek jangka panjang tebatan serta naik taraf saliran.

Sumbangan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang terkesan akibat banjir yang melanda beberapa kampung di Manjoi, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori berkata jumlah penerima adalah mengikut bayaran wang ihsan negeri dan proses pendaftaran mereka yang terjejas masih diteruskan.

“Jumlah itu mengikut bayaran wang ihsan negeri yang kita berikan dan kita akan terus mendaftar mereka yang belum berdaftar, insya-Allah hari ini, esok dan lusa.

Kita akan lakukan serta-merta dan sebaik sahaja senarai serta permohonan lengkap diterima, bantuan akan terus disalurkan seperti yang kita laksanakan hari ini. Proses semalam membolehkan pembayaran dibuat kepada semua yang terlibat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tersebut di Pejabat Penghulu Besar Manjoi.

Sebelum ini, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan kerajaan negeri akan melaksanakan penyelenggaraan infrastruktur sebagai langkah jangka pendek menangani banjir di daerah Kinta.

Langkah jangka panjang pula melibatkan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kinta Fasa 2, kerja pelebaran dan pendalaman Sungai Pari serta menaiktaraf sistem saliran dalaman di kawasan perkampungan.

Kerajaan negeri komited memastikan keselamatan rakyat menjadi keutamaan dan usaha mitigasi akan dipercepat bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.