fb fb fb fb fb

558 penduduk terjejas banjir di Long Bemang

Sungai Baram melimpah menyebabkan rumah panjang Long Bemang, Hulu Baram Miri banjir/Foto bomba

KUALA LUMUPUR, 28 Mei - Sekurang-kurangnya 103 rumah dengan 558 penduduk Kampung Long Bemang, Hulu Baram di Miri terjejas apabila kediaman mereka dilanda banjir sejak semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, hujan lebat di hulu sungai menyebabkan kampung itu banjir seawal 5 pagi semalam.

Anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Long Bemang kini yang memantau kawasan terjejas mendapati paras air semakin naik pada pukul 7.30 pagi tadi.

“Ketika pemantauan pagi ini, air berada pada paras 0.5 meter dan trend air didapati terus naik.

“Keadaan cuaca pula mendung dan dikhuatiri hujan akan berlaku lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, sebanyak 103 rumah penduduk terjejas akibat banjir yang berlalu apabila air Sungai Baram itu melimpah.

“Bagaimanapun, tiada penduduk dipindahkan kerana semua kediaman mereka adalah jenis dua tingkat dan mereka tinggal di tingkat atas rumah masing-masing," katanya.

Kampung Long Bemang antara kawasan yang dikategorikan sebagai sebuah penempatan di kawasan rendah di Baram.

GRACE AISYAH KEDAYAN