
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Sebanyak 521 kes berkaitan komuniti dan kejiranan berjaya diselesaikan secara mediasi tanpa melibatkan proses mahkamah sejak 2023 hingga 2026.
- Mediasi komuniti berperanan mencegah pertikaian berkembang menjadi konflik yang menjejaskan keharmonian masyarakat.
- Seramai 617 mediator komuniti ditauliahkan termasuk pegawai perpaduan, NGO, penganut agama dan anggota KRT untuk menyelesaikan pertikaian setempat.
- Kerajaan merancang tambah pusat mediasi dan mengukuh kerangka perundangan serta kajian perbandingan untuk sokongan kuasa dan perlindungan pihak terlibat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata mediasi komuniti berperanan sebagai mekanisme pencegahan bagi memastikan sesuatu pertikaian tidak berkembang menjadi konflik lebih serius hingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Jelasnya, seramai 617 mediator komuniti telah ditauliahkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sejak perkhidmatan itu diperkukuh pada 2023.
“Mediator berkenaan terdiri daripada pegawai perpaduan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil penganut agama serta anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
“Perkhidmatan ini juga disediakan secara pro bono dan menjadi salah satu alternatif kepada proses perundangan yang lazimnya memerlukan tempoh masa dan kos yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, pendekatan ini amat penting kerana konflik dalam masyarakat lazimnya bermula daripada perkara yang kelihatan kecil, termasuk isu kejiranan, bunyi bising, penggunaan kawasan bersama, tempat letak kenderaan, hubungan kekeluargaan dan salah faham antara komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Sosial Kolaboratif Mediasi Komuniti Perumahan Awam Seri Kota, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Mediasi Komuniti Perumahan Awam Seri Kota secara rasmi menjadi pusat mediasi komuniti ke-11 JPNIN bagi memudahkan penduduk mendapatkan khidmat nasihat dan penyelesaian pertikaian di peringkat setempat.
Datuk Aaron berkata pemilihan lokasi itu mengambil kira jumlah penduduk yang menghampiri 6,000 orang di samping permintaan komuniti serta keperluan menangani isu kejiranan.
“Kerajaan turut merancang menambah 12 pusat mediasi komuniti di lokasi strategik seluruh negara tahun ini bagi memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan berkenaan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan memperkukuh kerangka perundangan bagi menyokong pelaksanaan mediasi komuniti secara lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau meminta JPNIN mengadakan perbincangan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bagi meneliti cadangan penambahbaikan, termasuk cadangan pindaan terhadap Akta Pengantaraan 2012.
Beliau turut memohon JPNIN bersama Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) melaksanakan kajian perbandingan dengan negara seperti Singapura, India dan Sri Lanka bagi meneliti kerangka perundangan berkaitan mediasi komuniti.
“Langkah itu penting bagi memastikan aspek kuasa, fungsi, pentauliahan mediator, proses mediasi serta perlindungan pihak terlibat dapat disokong oleh asas perundangan yang lebih jelas dan mampan,” ujarnya.