
SUNGAI BULOH, 10 Mac – Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan menerusi kerjasama strategik antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjelang 2030.
- Inisiatif LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira menyusun peralihan kerjaya veteran secara lebih teratur dan strategik.
- Kerjasama PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO membangunkan ekosistem terintegrasi untuk padanan pekerjaan berdasarkan kemahiran dan lokasi veteran.
- Integrasi sistem VIBES dengan portal MYFutureJobs serta perkongsian data memperkukuh padanan pekerjaan dan perlindungan sosial veteran.
- Majlis MoU disaksikan oleh menteri, diikuti sesi temu duga terbuka dengan 14 majikan strategik; membuka laluan kerjaya baharu untuk veteran.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif itu digerakkan menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira yang bertujuan memastikan peralihan kerjaya veteran dilaksanakan secara lebih tersusun dan strategik.
Menurut beliau, kerjasama antara agensi berkenaan akan membangunkan ekosistem bersepadu yang menghubungkan veteran dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran serta lokasi mereka.
“Saya amat mengalu-alukannya dan berharap ini satu usaha yang dapat menangani isu soal pekerjaan kedua yang sememangnya merupakan perkara yang diberi perhatian oleh kerajaan, terutamanya untuk bekas angkatan tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO di Kompleks PERHEBAT, di sini hari ini.
Majlis itu turut disaksikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata skop kerjasama tersebut merangkumi usaha padanan pekerjaan, perkongsian data veteran serta integrasi sistem “Veteran Integrated Benefit System (VIBES)” dengan portal MYFutureJobs.
Beliau berkata pendekatan itu juga akan memastikan veteran mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya di samping meningkatkan taraf sosioekonomi mereka selepas menamatkan perkhidmatan dalam ATM.
Inisiatif itu selari dengan matlamat Kementerian Pertahanan dalam memperkasa laluan kerjaya kedua veteran melalui kerjasama sektor awam dan swasta.
Sebagai permulaan kepada kerjasama tersebut, seramai 14 majikan strategik turut mengambil bahagian dalam sesi temu duga terbuka yang diadakan bersempena majlis pemeteraian MoU berkenaan.
Program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada ribuan veteran ATM dengan menyediakan laluan kerjaya baharu yang lebih sistematik dan berdaya saing dalam pelbagai sektor industri.