
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Seramai 5.116 juta pembayar cukai individu bakal mendapat manfaat daripada peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 menerusi Belanjawan 2027.
- Pelepasan cukai individu dinaikkan selepas kadar tidak disemak sejak 2010, sebagai langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup.
- Golongan pertengahan (M40) menerima manfaat melalui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pelaksanaan subsidi bersasar.
- PMKS diberi sokongan pembiayaan dan potongan cukai kerana menyumbang sekitar 40% KDNK dan 48% pekerjaan.
- Kerajaan mensasarkan gaji minimum RM2,000, namun pelaksanaannya dikecualikan sementara untuk PMKS; perhatian juga pada upah separuh mahir dan graduan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu antara usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup, memandangkan had pelepasan berkenaan tidak disemak sejak 2010.
Beliau berkata, golongan pertengahan atau M40 turut menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pelaksanaan subsidi bersasar.
“Kos sara hidup merupakan antara isu penting yang perlu diberi perhatian. Pelepasan cukai individu dalam sistem percukaian negara tidak pernah disemak sejak 2010.
“Oleh itu, Kementerian Kewangan telah menyemak semula dan menaikkan kadar pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata, usaha kerajaan bukan sekadar meningkatkan hasil ekonomi negara, sebaliknya memastikan manfaat pertumbuhan itu dapat disalurkan kembali kepada rakyat.
Katanya, kesejahteraan rakyat kekal menjadi antara tumpuan dalam merangka dasar ekonomi dan fiskal negara.
Sementara itu, Datuk Seri Amir Hamzah berkata keperluan aliran tunai dan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi antara tumpuan kerajaan dalam memastikan sektor itu terus berdaya tahan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dengan menyumbang kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk menyediakan pekerjaan kepada 48 peratus tenaga kerja.
Menurutnya, sokongan pembiayaan dan langkah fiskal diperlukan bagi membantu perniagaan berdepan tekanan operasi.
“Kerajaan mengambil pendekatan memperkukuh kemudahan pembiayaan serta menyediakan potongan cukai bagi membantu PMKS, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2027.
“Pada masa sama, usaha meningkatkan kadar gaji pekerja juga perlu diteruskan bagi memastikan rakyat menikmati pendapatan yang lebih baik. Kerajaan menyasarkan peningkatan gaji minimum kepada RM2,000, namun mengambil kira cabaran yang dihadapi PMKS, pelaksanaannya dikecualikan buat sementara waktu bagi perusahaan berkenaan,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha memperkenalkan peningkatan gaji bagi pekerja separuh mahir dan graduan turut diberi perhatian bagi memperkukuh pasaran buruh negara.