fb fb fb fb fb

323 pengamal media terima bantuan Tabung Kasih@HAWANA sepanjang 2025

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 28 November - Seramai 323 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dengan agihan hampir RM1 juta sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata pencapaian itu sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 300 penerima.

Menurut beliau, sejak pelaksanaannya pada 2023, seramai 580 pengamal media telah menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan hampir RM1.7 juta.

“Usaha ini pasti akan diteruskan tahun depan. Kita berharap inisiatif bermakna seperti ini dapat diteruskan setiap tahun supaya kita dapat membantu rakan-rakan media yang berdepan kesukaran atau cabaran dalam kehidupan mereka.

“Bagi sesiapa yang memerlukan bantuan daripada Tabung Kasih@HAWANA, mereka boleh menghubungi urus setia di bawah BERNAMA. Hasrat kami bukan sahaja untuk membantu wartawan dan veteran wartawan, tetapi juga sesiapa sahaja dalam komuniti media yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Media Tamil, pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Pada majlis berkenaan, seramai 18 pengamal media Tamil menerima sumbangan berjumlah RM54,000, susulan masalah kesihatan, kesulitan ekonomi dan penstrukturan semula industri.

"Jumlah keseluruhan pengamal media Tamil yang menerima bantuan sejak 2023 kini mencecah kepada 105 orang penerima" tambah beliau.

Tabung Kasih@HAWANA, yang dilancarkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan membantu kebajikan pengamal media serta bekas pengamal media yang memerlukan termasuk bantuan kewangan, kos perubatan, kebajikan keluarga dan sokongan lain.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE