PUTRAJAYA, 20 Disember - 31 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar berjaya dibawa pulang ke tanah air.
Kesemua mereka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6.50 petang Sabtu dan seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, urusan penghantaran pulang itu berjaya dilaksanakan hasil kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon.
"Penghantaran pulang ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian," menurut kenyataan itu.
Malaysia menerusi Kementerian Luar turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas kerjasama yang kukuh dalam memudahkan serta mempercepat urusan kepulangan 31 warga Malaysia berkenaan.
Identiti kesemua individu itu telah disahkan lebih awal oleh pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa urusan penghantaran pulang sebelum ini pada awal Disember.
"Kepulangan mereka tidak dapat diuruskan dengan segera memandangkan mereka tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan kerana kemasukan secara haram.
"Bagaimanapun, hasil usaha dan rundingan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta bantuan pihak berkuasa Imigresen Tak, kumpulan itu dibebaskan bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand pada 19 Disember.
"Bantuan konsul yang komprehensif telah diberikan, termasuk memaklumkan kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, pengaturan logistik, penyediaan keperluan asas serta iringan sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam, Kedah," menurut kenyataan itu lagi.
Warga Malaysia terbabit adalah antara beberapa warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy, baru-baru ini.