
PUTRAJAYA, 7 Januari – Seramai 300 penerima terdiri daripada anak-anak kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima sumbangan persekolahan anjuran PUSPANITA cawangan kementerian itu sebagai usaha meringankan beban perbelanjaan ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan.
- PUSPANITA Cawangan KDN anjur bantuan persekolahan untuk 300 anak kakitangan KDN.
- Program disokong oleh syarikat swasta seperti Sakan, Snowtopica dan Mydin.
- Inisiatif bertujuan meringankan beban perbelanjaan ibu bapa menjelang sesi persekolahan.
- Kerajaan juga peruntuk RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan, RM150 untuk setiap murid.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program sulung PUSPANITA KDN bagi tahun ini melibatkan anak-anak warga KDN daripada pelbagai agensi dan jabatan dengan sokongan beberapa syarikat swasta.
“Sama ada peruntukan oleh kerajaan, inisiatif oleh badan seperti Puspanita, sokongan daripada syarikat-syarikat, saya kira ini adalah suatu inisiatif usaha yang baik dan kita berharap kita akan sentiasa dapat menzahirkan rasa syukur kerana usaha ini hanya boleh dibuat apabila wujud kestabilan politik dalam negara dan kemakmuran ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kembali Ke Sekolah anjuran PUSPANITA Cawangan KDN di sini.
Penganjuran program itu turut disokong oleh beberapa syarikat swasta antaranya pasar raya Sakan, Snowtopica dan Mydin, bagi membantu menyediakan kelengkapan sekolah kepada penerima.
Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan kerajaan turut memperuntukkan RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan seperti diumumkan Perdana Menteri, dengan setiap murid daripada Darjah 1 hingga Tingkatan 6 menerima RM150 yang akan disalurkan terus melalui sekolah masing-masing.
Gabungan inisiatif kerajaan, badan kebajikan serta sokongan sektor swasta mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam aspek pendidikan anak-anak.