
KEPALA BATAS, 19 Jun – Usaha berterusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperkasa golongan asnaf melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program I-Tekad.
- 20 peserta program I-Tekad CIMB Islamic MAINPP Entrepreneur menerima sumbangan motosikal untuk menyokong usaha keusahawanan belia.
- Sumbangan motosikal diharap menjadi titik permulaan kehidupan lebih baik dan menjana pendapatan stabil dalam sektor penghantaran.
- Inisiatif disokong dana pemula RM400,000 melalui Wakalah Zakat CIMB Islamic dan Bank Negara serta kerjasama dengan Yayasan Belia Malaysia.
Kali ini, program mendapat kerjasama CIMB Bank, menerusi I-Tekad CIMB Islamic MAINPP Entrepreneur, dengan 20 peserta program terdiri dalam kalangan belia menerima sumbangan motosikal.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, sumbangan motosikal kepada peserta program berkenaan diharap menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik dan mampu menjana pendapatan yang lebih stabil, dalam sektor penghantaran atau industri gig.
Datuk Dr Mohamad berkata, bagi menjayakan inisiatif tersebut, MAINPP menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Yayasan Belia Malaysia bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada peserta yang terlibat.
“Pihak MAINPP mengadakan majlis penyerahan motosikal kepada peserta yang dinamakan I-Tekad CIMB Islamic MAINPP Entrepreneur. Program ini adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan asnaf dalam kalangan belia. Sebab itu kita bekerjasama dengan Yayasan Belia Malaysia bagi membuka peluang pekerjaan dalam sektor penghantaran,”katanya selepas Majlis Penyerahan Motosikal kepada peserta Program I-Tekad CIMB Islamic MAINPP Entrepreneur di sini, hari ini.

Program berkenaan digerakkan menerusi dana pemula berjumlah RM400,000 dalam bentuk geran padanan yang melibatkan sumbangan daripada dana Wakalah Zakat CIMB Islamic Bank Berhad serta Bank Negara Malaysia.
Kerjasama strategik itu dilihat mampu memperluaskan impak program pembangunan asnaf MAINPP sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi peserta melalui peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan yang mampan.
Inisiatif tersebut juga selaras dengan usaha MAINPP mentransformasikan golongan asnaf daripada penerima bantuan kepada individu yang mampu berdikari dan menyumbang semula kepada masyarakat.