KUALA LUMPUR 6 Ogos - 19 syarikat produksi tempatan terpilih untuk menghasilkan produk mikro drama melalui Dana Mikro Drama Finas 2025 .
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Datin Rozita Waty Ridzuan berkata satu Bengkel Permurnian Mikro Drama FINAS 2025 telah dianjurkan bagi memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada peserta dalam menghasilkan mikro drama mengikut garis panduan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
Bengkel buat kali pertama dianjurkan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu dihadiri 56 peserta mewakili 19 syarikat produksi terbabit.
Setiap peserta didedahkan untuk memahami, merancang, mencipta dan mengoptimumkan idea dan kaedah perkembangan cerita yang menepati pasaran global dalam menghasilkan mikro drama yang akan di tayangkan di platform over-the-top (OTT) dan memenuhi spesifikasi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Ini kali pertama kita tawarkan sebenarnya kepada penerbit dan juga industri filem. Mikro drama ni adalah trend sekrang, jadi kita tawarkan dana kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi.
"Kita sangat mengharapkan supaya hasil yang mereka akan terbitkan ini dapat sambutan di luar sana," katanya di sini.
Bengkel selama dua hari ini bermula pada 5 dan 6 Ogos ini, mencerminkan keseriusan kerajaan dalam menghasilkan program berkualiti terutamanya membabitkan dana kerajaan melalui latihan bersepadu tiga agensi iaitu IPPTAR, FINAS dan RTM .
Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam berkata, mikro drama sesuatu yang baharu di pasaran di mana pembekal yang mendapat dana kreatif daripada FINAS ini perlu ada satu panduan untuk membangunkan kandungan dalam kontek kuantiti kontrol (QC ) dan skrip.
"Melalui pendedahan, teknologi dan pembangunan kandungan yang kita berikan, mereka dapat pengetahuan dan kemahiran baharu yang menepati kehendak "stakeholder" iaitu RTM.
"Jadi dengan adanya bengkel seperti ini saya harap IPPTAR akan buat bengkel yang sama untuk genre-genre lain pada masa hadapan supaya kita dapat menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan cara naratif penceriataan yang sesuai dengan keadaan semasa," tambahnya.
Sementara itu, dua penerima dana khas ini amat menghargai usaha kerajaan dalam membantu pemain industri kreatif.
"Dana RM200,000 yang telah diberikan ini sangat membantu syarikat untuk mencuba format baharu penerbitan contohnya mikro drama," kata Alan Khor Fuxiong dari Niji Arts Production Sdn Bhd.
Dalam pada itu,Suhaini Abdul dari Wangsa digital Sdn Bhd berkata dana tersebut berupaya mengembangkan lagi industri kreatif tempatan dan membantu syarikat untuk melahirkan bakat-bakat baharu.
"Vertikal drama ni adalah satu yang baru jadi saya perlukan input-input baru. Bila diberikan inisiatif ataupun bengkel ini, saya rasa macam diberi peluang untuk belajar secara percuma," katanya.