KOTA BHARU, 11 Mac- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menyasarkan negeri itu kekal merekodkan sifar kes keracunan makanan membabitkan bazar Ramadan tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata ia berikutan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkait kes keracunan makanan sepanjang Ramadan tahun lalu.
"Tahun lepas apabila buat pemeriksaan di gerai-gerai ini kita mendapati 96.2 peratus gerai yang diperiksa mempunyai tahap premis yang bersih. Jika budaya ini diteruskan, saya percaya peniaga yang sama majoritinya akan meniaga pada tahun ini sekiranya budaya berkenaan dapat dikekalkan, peratusan kebersihan ini dapat ditingkatkan. Insha-Allah kita berdoa tidak berlaku keracunan-keracunan makanan, apa-apa penyakit melibatkan makanan dan air,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya menerusi program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) Semarak Ramadan 2024 Kolaborasi Ibis Styles Kota Bharu dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK, di sini.
Mengulas lanjut, Zaini berkata pemantauan dan pemeriksaan juga akan dilaksanakan oleh 180 petugas JKNK membabitkan 69 bazar Ramadan di seluruh Kelantan bagi mengekang sebarang pelanggaran peraturan termasuk isu kebersihan.
Menurut beliau, pihaknya juga akan mengambil sampel makanan daripada premis-premis berkenaan untuk memastikan makanan yang disediakan terhindar daripada sebarang bawaan penyakit.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan payung atau topi sebagai perlindungan diri ketika berkunjung ke bazar Ramadan memandangkan cuaca panas melanda negara ketika ini.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan daripada terdedah terlalu lama di kawasan yang terbuka terutama golongan yang berisiko kerana bimbang berlaku strok haba.