159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global diturunkan MCMC

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April -Rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC menurunkan 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga dalam tempoh empat hari.
  • Kandungan palsu termasuk dakwaan kenaikan harga minyak, bayaran tol di Selat Hormuz dan kenaikan tarif elektrik TNB, semuanya palsu.
  • Orang ramai dinasihat semak sumber sahih, elak berkongsi maklumat tidak pasti; penyebar maklumat palsu boleh dikenakan tindakan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, mendedahkan peningkatan ketara penyebaran maklumat palsu berkaitan krisis tenaga yang boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 159 kandungan palsu dalam tempoh empat hari sejak 29 Mac lalu.

“Maklumat palsu ini boleh dikategorikan kepada tiga perkara utama iaitu dakwaan kenaikan harga minyak, kononnya Malaysia perlu membayar tol di Selat Hormuz serta dakwaan kenaikan tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semua dakwaan ini telah disahkan tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak, malam tadi.

Beliau berkata orang ramai perlu berhati-hati dan peka terhadap maklumat yang disebarkan kerana penyebaran informasi atau berita palsu boleh dikenakan tindakan.

“Dalam tempoh krisis tenaga global ini, kita berdepan dengan kandungan palsu yang direka oleh pihak tidak bertanggungjawab… ada guna AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya termasuk menukar serta menyunting tajuk pada berita media arus perdana.

“Rakyat diharap mendapatkan maklumat yang sahih dan merujuk serta membuat semakan pada sumber yang tepat selain tidak berkongsi perkara yang tidak pasti,” katanya.