KUALA LUMPUR, 20 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Krismas, melibatkan 14 jenis barangan di seluruh negara.
Inisiatif itu berkuat kuasa selama lima hari, dari 23 Disember hingga 27 Disember.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga terkawal serta mengelakkan kenaikan mendadak semasa perayaan.
Beliau turut menambah bahawa pelaksanaan skim itu akan dipantau berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Penetapan harga barang-barang tersebut dibuat hasil rundingan dengan rakan strategik kami, termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pihak industri, bagi mencapai penyelesaian menang-menang.
"Langkah ini bukan sahaja membantu rakyat tetapi juga memastikan para peniaga tidak terbeban, dengan mengambil kira bekalan yang mencukupi untuk melaksanakan skim ini," katanya dalam sidang media Majlis Pengumuman SHMMP Sempena Krismas 2024 dan Program Jualan Rahmah MADANI di sini.