
KOTA KINABALU, 4 Julai – Sebanyak 12 rumah musnah dalam dua kejadian kebakaran berasingan di kawasan Inanam dalam tempoh kurang enam jam, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
- Kebakaran di Kampung Kalansanan dilaporkan pada 9.20 malam Jumaat; dikawal 10.48 malam dan operasi tamat 1.27 pagi.
- Kebakaran di Lorong 29, Kampung Warisan dilaporkan 3.20 pagi Sabtu; dikawal 4.07 pagi dan operasi ditamatkan 5.05 pagi.
- Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagi kedua kejadian masih dalam siasatan JBPM.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pertama pada pukul 9.20 malam pada Jumaat.
“Kebakaran di Kampung Kalansanan melibatkan 12 rumah jenis tidak kekal, dengan 11 daripadanya musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 50 peratus.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang berjaya mengawal kebakaran pada pukul 10.48 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.27 pagi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu beberapa jam kemudian, pada pukul 3.20 pagi Sabtu, satu lagi kebakaran dilaporkan berlaku di Lorong 29, Kampung Warisan, Inanam.
Insiden berkenaan telah memusnahkan sebuah rumah dua tingkat jenis separa kekal.
Pasukan dari BBP Lintas dan Balai Bantuan BBP Kota Kinabalu berjaya mengawal kebakaran pada pukul 4.07 pagi, sebelum operasi ditamatkan pada pukul 5.05 pagi.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian dalam kedua-dua kejadian masih dalam siasatan.