
TAIPING, 14 Jun – Sebanyak 11 kumpulan pancaragam dari dalam dan luar negara menyertai Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026.
- Menjadi platform pertukaran budaya, memperkukuh hubungan antarabangsa dan menyemarakkan sektor pelancongan tempatan.
- Menonjolkan bakat muzik belia sebagai ekspresi persahabatan, harapan dan perpaduan melalui persembahan berkumpulan.
- Program dua hari termasuk perarakan, konsert perasmian, persembahan fringe di warisan Taiping dan persembahan mass ensemble.
Program edisi kedua itu menampilkan tujuh kumpulan pancaragam tempatan dan empat lagi dari Jepun, Hong Kong, Filipina serta Indonesia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, festival itu bukan sahaja menonjolkan bakat muzik belia, malah menjadi platform pertukaran budaya, memperkukuh hubungan antarabangsa dan menyemarakkan sektor pelancongan tempatan.
Katanya, penyertaan kumpulan pancaragam dari pelbagai negara membuktikan muzik mampu menjadi bahasa universal yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Melihat pemuzik muda dari pelbagai negara berkumpul di sini, begitu memberi inspirasi kepada kita. Alunan muzik serta semangat anak muda yang pada hari ini bukan sekadar persembahan, ia merupakan ekspresi persahabatan, harapan dan perpaduan,” katanya.
Nga berucap pada majlis perasmian Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 di sini.

Festival yang berlangsung selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk perarakan pancaragam, konsert perasmian, persembahan fringe di kawasan warisan Taiping dan persembahan mass ensemble yang menggabungkan kesemua kumpulan pancaragam yang terlibat.
Pada hari pertama, pengunjung disajikan dengan perarakan pancaragam dan konsert perasmian yang menampilkan persembahan kumpulan tempatan serta antarabangsa.
Hari kedua pula memberi tumpuan kepada persembahan komuniti menerusi Festival Fringe di beberapa lokasi sekitar bandar warisan sebelum kemuncaknya menerusi persembahan mass ensemble.