PUTRAJAYA, 13 Disember - Kira-kira 10 individu yang menyebarkan mesej palsu kononya kerajaan akan menghapuskan subsidi diesel mulai 1 Januari depan sudah dikenal pasti, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah menjejaki lapan hingga 10 penyebar tersebut dan akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
"Saya difahamkan laporan polis telah dibuat berhubung sebaran fitnah itu untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial yang menunjukkan notis penamatan subsidi diesel bermula Januari ini.
Notis itu didakwa dipamer di stesen minyak.
Semakan pasukan Biar Betul - Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapati maklumat yang dikongsi individu tidak bertanggungjawab itu adalah tidak benar.
Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan tersebut yang kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Januari depan.
Menurut KPDN, kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi mengkaji keberkesanan sistem MySubsidi Diesel dan sistem ''fleet card''.
Proses pengujian bagaimanapun tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel indvidu.
Oleh itu, Fahmi meminta kerjasama orang awam supaya mengesahkan dahulu maklumat diterima bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan fitnah.