
PUTRAJAYA, 6 Ogos – Barisan Nasional (BN) bertekad untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
- BN kekal terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi meraih sokongan lebih meluas.
- BN menetapkan tidak akan berkongsi kerusi yang dimenangi sebelum ini dengan pihak lain.
- Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri telah memaklumkan perkara itu kepada Zahid.
- Kepimpinan BN peringkat pusat akan berunding dan menjadi kata pemutus bagi sebarang kesepakatan dan persefahaman.
Pada masa sama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya kekal terbuka untuk mengadakan sebarangan rundingan dengan mana-mana pihak bagi meraih sokongan lebih meluas.
“Kita menetapkan di kerusi-kerusi yang kita menang sebelum ini, kita tidak akan berkongsi dengan pihak lain. Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri telah memaklumkan kepada saya mengenai perkara ini.
“Saya juga pasti akan ada musyawarah antara semua pihak sebagaimana dimaklumkan oleh Ketua Menteri, beliau terbuka dan kami kepimpinan BN peringkat pusat akan berunding untuk menjadi kata pemutus bagi sebarang kesepakatan dan persefahaman,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN berjaya memenangi 21 daripada 23 kerusi DUN yang dipertandingkan sekali gus membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini.