SAUDARA PENGARANG
Rumah seharusnya adalah sebagai tempat kediaman yang selesa dan selamat serta merupakan keperluan asas bagi setiap individu. Namun, kos kehidupan yang ditanggung oleh individu yang menetap di kawasan bandar semakin meningkat dari semasa ke semasa sehingga keadaan ini telah menyukarkan golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri. Oleh itu, pihak kerajaan telah memainkan peranan penting bagi meringankan beban tersebut dengan melaksanakan beberapa inisiatif seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), sekali gus untuk mengatasi masalah perumahan setinggan di kawasan bandar.
Peningkatan pembinaan rumah kos rendah mampu milik semakin meningkat terutamanya di kawasan bandar. Namun, persoalannya adakah pembinaan rumah kos rendah di kawasan bandar telah mengambil kira kesejahteraan penghidupan penghuni di kawasan kediaman tersebut secara menyeluruh? Terma kesejahteraan ini kebiasaannya digunakan dalam kalangan para penyelidik yang berorientasikan keseimbangan ekonomi, sosial, politik dan kemanusiaan.
Perumahan rakyat yang telah dibina di kawasan bandar-bandar besar kebiasaannya adalah di antara 8 hingga 15 tingkat. PPR adalah merupakan salah satu dasar kerajaan dalam menyeimbangkan keperluan asas tempat tinggal kepada rakyat yang tergolong dalam kategori B40 dengan tujuan untuk memelihara hak kemanusiaan rakyat Malaysia agar mampu menjalani kelangsungan kehidupan yang sejahtera.
Penyediaan tempat kediaman yang kondusif adalah penting bagi memastikan segala aspek kesejahteraan penghidupan dapat dipenuhi. Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah menetapkan bahawa pembinaan rumah PPR perlu menepati lima ciri-ciri penting iaitu berdaya huni, senang dihubungi, mampan, berkualiti baik dan juga mempunyai kelompok komuniti yang bagus. Tambahan pula, tempat kediamaan yang tidak kondusif kepada kesejahteraan penghidupan akan meningkatkan risiko berlakunya pelbagai isu-isu penghidupan yang lain seperti masalah sosial, jenayah, penyalahgunaan bahan terlarang dan potensi peningkatan masalah mental.
Terdapat kajian yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 2021 melaporkan bahawa kanak-kanak dan remaja yang mendiami kawasan PPR di Lembah Klang berpotensi mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung membunuh diri. Menurut kajian tersebut sebanyak 31.3 peratus golongan remaja mempunyai idea untuk membunuh diri atau cubaan untuk membunuh diri. Keadaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya tidak dikawal di peringkat awal lagi.
Seperti semua sedia maklum, pelaksanaan PPR adalah menitikberatkan elemen kualiti kehidupan dan kesejahteraan sosial kepada penghuninya. Namun begitu, wujudnya permasalahan yang mengaitkan isu kesejahteraan pembangunan komuniti PPR apabila kesejahteraan penghidupan tidak dapat dicapai disebabkan oleh beberapa faktor yang menyumbang kepada isu kualiti perumahan PPR. Antara faktor yang menyumbang kepada masalah kualiti perumahan PPR dalam kajian yang dilakukan oleh UTHM pada tahun 2021 adalah seperti keselamatan, kualiti hidup, kesihatan dan fizikal rumah.
Kepentingan aspek keselamatan yang tidak dititikberatkan akan memberikan impak negatif kepada masyarakat setempat terutamanya golongan remaja yang masih dalam proses awal perkembangan kehidupan. Keselamatan adalah didefinisikan sebagai keadaan persekitaran yang terpelihara daripada bahaya, bencana atau gangguan yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu kemalangan. Selain itu, Kebanyakan masalah kesihatan yang dihadapi oleh penduduk perumahan kos rendah adalah berpunca dari masalah tekanan disebabkan oleh kualiti perumahan dan persekitarannya seperti kesesakan penduduk, kemudahan tempat letak kereta yang terhad, kos pengangkutan awam, tahap kebersihan yang rendah, peningkatan tahap pencemaran (udara, bau dan bunyi), keselesaan dan keselamatan. Keadaan kualiti perumahan yang rendah akan menjejaskan tahap kesihatan penduduk perumahan di sesebuah kawasan.
Definisi keselesaan adalah berbeza-beza mengikut jenis rumah. Keselesaan sesebuah tempat kediaman merupakan salah satu aspek yang perlu diberikan keutamaan dalam memberikan kehidupan berkualiti kepada penghuninya. Aspek keselesaan di dalam dan luar rumah ini adalah penting bagi memastikan pembangunan pesat negara adalah turut mengambil kita keselesaan penghuni rumah dan bukan hanya sekadar menyediakan tempat tinggal sahaja tanpa mempertimbangkan perspektif kesejahtaraan penghidupan penghuninya.
Isu kerosakan struktur fizikal bangunan kawasan tempat kediaman akibat daripada usia bangunan itu sendiri, tingkah laku sikap manusia atau alam semula jadi sering memberikan kerisauan kepada penghuni kediaman. Kerosakan yang berlaku akan menimbulkan ketidakselesaan serta berkemungkinan ancaman bahaya kepada penghuni setempat serta berlakunya peningkatan kos penyelenggaraan bangunan. Oleh itu, keadaan fizikal rumah yang kondusif akan meningkatkan tahap kualiti sebebuah rumah.
Pelbagai langkah meningkatkan kualiti perumahan PPR telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memperbaiki kualiti kehidupan penghuni-penghuni di kawasan tersebut. Antara langkah-langkah yang diambil adalah dengan menyediakan infrastruktur lengkap dan proses penyelenggaraan secara berkala, memastikan kebersihan kawasan kediaman sentiasa terjaga dengan menerapkan amalan kitar semula dan menggalakkan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong. Walaupun pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan, swasta atau individu dalam memperbaiki kualiti penghidupan penghuni-penghuni di kawasan PPR. Namun keadaan ini tidak akan dapat dipertahankan untuk suatu jangka masa yang panjang, sekiranya mentaliti kebanyakan penghuni di kawasan perumahan tersebut masih belum berubah ke arah pemikiran yang lebih baik.
Dapat disimpulkan bahawa kualiti kehidupan penghuni rumah PPR akan pulih secara signifikan melalui pengurusan dan penyelengaraan kemudahan yang disediakan secara berkesan dan berkala disamping setiap penghuni menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kesejahteraan kehidupan dapat dicapai.
PENULIS DR NURUL ASHIKIN ALIAS, Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.