fb fb fb fb fb

Diet sihat dan puasa

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Corak pemakanan sering dipengaruhi oleh amalan keagamaan. Ini kerana kebanyakan agama menetapkan standard, larangan dan corak pemakanan tertentu. Bagi umat Islam, corak pemakanan berubah dengan ketara semasa bulan Ramadan.

Ibadah puasa pada bulan Ramadan merupakan rukun Islam yang ke-3. Dalam surah Al-Baqarah, ayat 183, Allah berfirman, “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Melalui ayat ini, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa setiap hari, bermula terbit fajar sehinggalah terbenam matahari; selama sebulan pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya, Allah menjanjikan ketakwaan kepada orang yang berpuasa. Namun, keistimewaan berpuasa pada bulan Ramadan bukan sahaja daripada sudut spiritual kerana pintu rahmat yang dibuka seluas-luasnya, tetapi juga memberi pelbagai kelebihan terutamanya aspek kesihatan.

Puasa menyebabkan pelbagai perubahan fisiologi dalam badan, termasuk perubahan dalam tahap hormon, laluan metabolik dan proses perbaikan sel. Perubahan ini boleh membawa banyak manfaat kesihatan, seperti peningkatan sensitiviti insulin, peningkatan pembakaran lemak, dan pengurangan keradangan.

Puasa juga telah terbukti meningkatkan fungsi kognitif, dan melindungi daripada penyakit yang berkaitan dengan usia. Kebiasaannya bulan Ramadan menjadi penanda aras untuk mengawal diri daripada makan secara berlebihan dan meninggalkan amalan gaya hidup yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ramadan dikaitkan dengan perubahan besar dalam corak pemakanan dan gaya hidup umat Islam khususnya pengambilan tenaga, kumpulan makanan, makro-dan mikronutrien.

Pengubahsuaian tabiat makan semasa berpuasa juga mempengaruhi jenis dan jumlah makanan yang diambil. Contohnya, umat Islam hanya makan dua hidangan utama iaitu sahur sebelum fajar dan berbuka puasa semasa matahari terbenam.

Corak tidur dan masa yang dihabiskan untuk aktiviti harian juga berubah semasa tempoh berpuasa. Kajian terhadap corak tidur dan tabiat makan sebelum Ramadan, semasa minggu pertama Ramadan, dan semasa minggu ke-3 Ramadan di Riyadh, Arab Saudi menunjukkan mereka yang berpuasa cenderung mempunyai jumlah tidur yang pendek manakala aktiviti sedentari meningkat pada waktu siang.

Malah, aktiviti tidak sihat seperti merokok diharamkan semasa berpuasa. Keadaan ini menyebabkan pendedahan asap rokok sekunder dalam kalangan perokok menurun secara signifikan pada bulan Ramadan.

Setelah berpuasa selama hampir 30 hari, badan kita telah memasuki fasa adaptasi tubuh. Pada hari-hari biasa, makanan yang dimakan ditukarkan kepada glukosa untuk digunakan sebagai tenaga.

Semasa berpuasa, tubuh akan menggunakan simpanan glikogen hati untuk tenaga. Apabila simpanan tersebut telah habis, tubuh akan beralih kepada simpanan lemak yang akan dibakar untuk menghasilkan tenaga.

Puasa berterusan akan menghasilkan zat keton oleh hati sebagai sumber tenaga alternatif kepada tubuh bagi memelihara jisim dan fungsi otot. Adaptasi metabolisme badan ketika berpuasa ini membantu mengawal selera makan dan memperlahankan metabolisme.

Hasilnya, puasa berpotensi menurunkan komposisi lemak dalam badan dan mengawal berat badan secara keseluruhan. Selain itu, puasa dapat membantu menetapkan isyarat lapar dan kenyang dalam badan, menjadikan mereka yang berpuasa lebih mudah untuk mengamalkan tabiat makan lebih sihat dan mengelak makan secara berlebihan atau mengikut emosi.

Kajian meta-analisis menunjukkan bahawa puasa Ramadan dapat menurunkan berat badan secara purata satu kilogram sebulan. Walaupun penurunan ini sedikit, jika umat Islam terus mengamalkan gaya hidup sihat dan mengurangkan kalori makanan secara kosisten selepas berpuasa, ia akan memberi manfaat besar, terutamanya kepada individu berlebihan berat badan dan obes.

Berbuka puasa bukanlah tiket untuk balas dendam dan makan secara tidak sihat. Situasi ini juga dapat dilihat di Malaysia di mana orang ramai cenderung untuk makan makanan berlemak dan berkalori tinggi serta minum minuman manis ketika berbuka.

Untuk sesetengah orang yang peka terhadap kesihatan dan memahami tujuan berpuasa untuk kesihatan, mereka tidak hanya menahan lapar dan dahaga pada siang hari, tetapi juga mengawal jumlah makanan diambil semasa berbuka supaya tidak berlebihan.

Bagi golongan ini, mereka memastikan hidangan berbuka puasa kaya dengan pelbagai jenis makanan yang sihat, seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, dan lauk atau protein yang kurang lemak dan minyak.

Diet sihat seperti ini kaya dengan vitamin, mineral, antioksidan dan serat yang menyokong pelbagai fungsi badan seterusnya mengurangkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, dan kanser.

Memastikan pengambilan air yang mencukupi juga penting untuk menjaga hidrasi badan dan memastikan fungsi sistem pencernaan yang baik. Rutin senaman juga boleh diteruskan sama ada sebelum sahur atau 1 hingga 2 jam sebelum berbuka puasa bagi membantu penghadaman dan membakar kalori berlebihan.

Menjelang Hari Raya Aidilfiri yang bakal tiba, perubahan corak pemakanan dan gaya hidup sihat semasa bulan puasa amat penting untuk diteruskan, terutama dalam kalangan individu yang berisiko kepada penyakit metabolik seperti obesiti, diabetes, dan hipertensi.

Anggaplah kita telah melatih diri mengawal nafsu makan selama sebulan dan badan kita telah biasa dengan rutin puasa. Oleh itu, amalan gaya hidup sihat dan pengurangan kalori makanan yang telah diamalkan semasa berpuasa selama 30 hari ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

Berdasarkan dapatan kajian, berat badan yang hilang semasa berpuasa akan kembali apabila kita mengamalkan corak pemakanan sebelum Ramadan.

Maka beruntunglah orang yang meneruskan amalan pemakanan dan gaya hidup sihat selepas berpuasa. Pasti, kita akan merasai nikmatnya kerana badan kita telah sebati dengan amalan tersebut.

PENULIS DR. NURUL SHAZINI RAMLI, Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel shazini @upm.edu.my.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI