fb fb fb fb fb

Sikap suka mengejek, teladan kisah Abu Dzar & Bilal

Foto janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

Kebelakangan ini, budaya buli dan ejek-mengejek dalam kalangan pelajar sekolah semakin mendapat perhatian masyarakat. Pelbagai liputan media terhadap budaya ini telah membuka mata masyarakat bahawa ia adalah budaya jahiliyah yang tidak seharusnya tumbuh subur dalam sesebuah institusi pendidikan yang menjadi tempat membangun jati diri pelajar. Bagi remaja yang sedang mencari identiti, budaya jatuh-menjatuhkan ini seharusnya dihentikan sama sekali.

Selain buli fizikal, satu lagi budaya yang kian berakar umbi di sekolah iaitu mengejek dan memperlekeh rakan lain. Sama ada kerana rupa, warna kulit, latar keluarga, atau kelemahan akademik, ejek-mengejek sering dianggap gurauan, walhal ia meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwa remaja.

Di peringkat asrama, ejekan sering dijadikan cara mengawal junior atau menekan seseorang. Si kumpulan pengejek merasa puas melihat rakan lain ‘koyak’ dengan ejekan tersebut, atau sebagai ‘hiburan’ dalam kumpulan mereka. Inilah antara bentuk buli mental yang amat berbahaya.

Larangan Tegas dalam al-Quran

Allah SWT telah melarang budaya mengejek dalam firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan). Dan jangan pula golongan wanita memperolok-olokkan wanita lain, (kerana) boleh jadi wanita yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan). Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah beriman, dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Ḥujurat, 49:11)

Dalam kita berinteraksi sesama manusia, terdapat aturan dan akhlak lisan yang perlu dijaga. Beberapa pelajaran yang dapat diambil daripada ayat tersebut adalah:

1. Allah menegah kita untuk mengejek atau memperolok orang lain, kerana boleh jadi, yang diejek jauh lebih baik daripada yang diejek. Hal ini kerana, Allah tidak melihat penampilan dunia, harta, atau keturunan, tetapi Allah melihat ketaqwaan di dalam hati. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu”. (Riwayat Muslim, 2564)

2. Allah SWT juga menegah kita agar tidak memanggil orang lain dengan gelaran yang buruk, gelaran yang pahit didengar, gelaran yang menyakitkan hati atau panggilan yang memalukan diri mereka. Hal ini menunjukkan bagaimana Islam sangat menjaga hati dan perasaan seorang manusia.

3. Kata-kata ibarat pedang, yang menghunus hati dan perasaan. Maka, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam”. (Muttafaq ‘alaih)

Kisah Abu Dzar dan Bilal

Dalam sirah Nabi dan para sahabat, terdapat sebuah peristiwa penting yang menjadi pengajaran yang sentiasa relevan sehingga hari ini. Abu Dzar al-Ghifari r.a., seorang sahabat Nabi, pernah menghina Bilal bin Rabah RA dengan berkata: “Wahai anak hitam!”

Ucapan itu sampai kepada Rasulullah SAW. Baginda marah lalu menegur Abu Dzar dengan sabdanya: “Masih ada dalam dirimu sifat jahiliah”. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tersentak dengan teguran itu, Abu Dzar segera meletakkan pipinya ke tanah dan meminta Bilal memijaknya sebagai tanda penyesalan. Namun Bilal memaafkan lalu mereka saling berpelukan sambil berlinangan air mata. Kisah ini menunjukkan betapa tegasnya Rasulullah SAW menolak budaya ejek-mengejek. Ia bukan sekadar kata-kata, tetapi boleh membawa dosa besar kerana merendahkan martabat insan.

Sirah ini telah membuktikan, bahawa para sahabat Nabi telah membina ukhuwah atas dasar keimanan dan ketaqwaan, bukan saling menghina antara satu sama lain. Lihatlah persaudaraan Muhajirin dan Ansar di mana mereka saling mengutamakan sahabat mereka, sanggup berkongsi harta, rumah dan kasih sayang. Inilah bukti bahawa Rasulullah SAW berjaya mendidik mereka sehingga bersatu menjadi umat yang kuat.

Budaya Mengejek: Racun Jiwa Remaja

Di sekolah dan asrama, ejekan sering dianggap perkara biasa dan kadang-kadang, ibu bapa dan guru berseloroh ‘maklumlah, gurauan budak-budak’. Namun, gurauan ini boleh menghancurkan harga diri rakan lain. Remaja yang menjadi mangsa ejekan mudah terjerumus dalam masalah psikologi seperti rasa rendah diri, menjauhi diri daripada rakan, dan ditimpa kemurungan. Lebih membimbangkan, budaya ini bercanggah dengan misi pendidikan Islam yang mahu melahirkan insan berakhlak.

Rasulullah SAW mengingatkan: “Seorang Muslim itu adalah yang selamat orang lain daripada lidah dan tangannya”. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya, kata-kata ejekan adalah bentuk kezaliman lidah yang sama beratnya dengan kezaliman tangan. Sekiranya kezaliman tangan melukakan fizikal mangsa, namun, kata-kata ejekan mampu melukakan hati dan perasaan yang mana parutnya amat sukar untuk hilang. Mangsa akan tumbuh membesar dalam keadaan tidak yakin diri, merasa terzalimi dan merasa tiada keadilan untuknya.

Kesimpulan

Islam menolak sekeras-kerasnya budaya ejek-mengejek. Kisah Abu Dzar dan Bilal adalah bukti jelas bahawa ejekan bukan perkara kecil, bahkan Rasulullah SAW menegurnya sebagai sifat jahiliah yang masih menebal dalam diri.

Mendidik generasi, biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya membesar dengan harga diri yang tinggi, berkasih sayang, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda. Budaya jahiliyah seperti merendahkan orang lain, meremehkan, ejek-mengejek dan jatuh menjatuhkan perlu dikikis semenjak di rumah lagi. Ia boleh dilatih melalui interaksi adik beradik dan ibu bapa di rumah. Anak-anak mesti diajar bahawa lidah lebih tajam daripada pedang, dan setiap kata akan dipersoalkan di akhirat.

Selain itu, pihak sekolah perlu membina budaya ukhuwah yang positif. Selain pengajaran dan pembelajaran dalam subjek Pendidikan Islam, nasihat-nasihat keagamaan perlu terus diterapkan dalam diri pelajar, secara interaktif dan berterusan. Ia boleh jadi secara formal ataupun informal, di dalam mahupun di luar kelas agar pelajar dapat menerapkan budaya yang baik secara lebih efektif.

Tarbiyah di sekolah dan modul usrah berdasarkan nilai dan akhlak Islam perlu diperkasakan sebagai nilai tambah kepada kurikulum sedia ada di samping menghidupkan budaya saling menasihati secara sihat. Dengan usaha ini, semoga terlahirlah generasi yang saling menghormati dan menyayangi kerana Allah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR ATIFAH AHMAD YUSOFF
Dr Atifah Ahmad Yusoff
Pensyarah Kanan
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI