
KANGAR, 13 Jun – Seorang warga emas hanya mampu melihat rumah dan harta bendanya musnah dijilat api dalam kebakaran yang memusnahkan lapan rumah di Kuala Perlis, awal pagi tadi.
- Saadiah, 77, terjaga selepas nampak api masuk melalui tingkap dapur sekitar 3.38 pagi.
- Tinggal bersama dua cucu, tidak sempat selamatkan barang, kerusi roda hangus, merangkak keluar selamatkan diri.
- Kerugian dianggarkan melebihi RM100,000.
- JBPM kata kebakaran merebak cepat kerana rumah terlalu rapat; operasi dikawal 4.40 pagi, tamat 8.13 pagi, forensik siasat punca.
Saadiah Md Zain, 77 tahun, berkata beliau tersedar daripada tidur selepas ternampak api mula memasuki rumah melalui tingkap bahagian dapur kira-kira pukul 3.38 pagi.
Ketika kejadian, beliau yang tinggal bersama dua cucunya tidak sempat menyelamatkan sebarang barangan kerana api merebak dengan pantas.
“Saya nak ke bilik air, tiba-tiba nampak api sudah masuk melalui tingkap di bahagian dapur. Kami tak sempat ambil apa-apa barang. Dua cucu saya terus tolak saya keluar dari rumah. Kerusi roda saya pun hangus terbakar, tak sempat nak ambil. Selamatkan diri sajalah sambil merangkak keluar,” katanya.
Menurut Saadiah, kebakaran itu memusnahkan keseluruhan rumah serta harta benda miliknya dengan anggaran kerugian melebihi RM100,000.
Dalam kejadian tersebut, lapan keluarga hilang tempat tinggal apabila lapan rumah musnah sepenuhnya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, kebakaran merebak dengan cepat kerana kedudukan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain.
“Kebakaran ini didapati cepat merebaklah, dalam masa sama rumah ini dibina memang rapat, amat-amat rapatlah dalam lapan unit tu. Tindakan kita menggunakan konsep ratio lah, yang mana kita perlu memastikan mangsa-mangsa tidak ada lagi di dalam kawasan kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada pukul 4.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.13 pagi.
Pasukan forensik bomba kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian.