
ALOR SETAR, 13 Jun – Seorang lelaki etnik Rohingya ditahan selepas cuba melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi penguatkuasaan di Guar Kepayang di sini, petang semalam.
- Pemandu mempunyai 34 saman aktif yang belum dijelaskan.
- Motosikal disita oleh JPJ untuk tindakan lanjut susulan kesalahan dikesan.
- JPJ menegaskan tidak akan berkompromi terhadap warga pelarian UNHCR yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, lelaki terbabit dipercayai meninggalkan motosikal yang ditunggangnya sebelum cuba meloloskan diri.
“Semakan mendapati pemandu dan pemilik motosikal terbabit mempunyai 34 saman yang masih belum dijelaskan.
“Susulan kesalahan yang dikesan, motosikal berkenaan telah disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap warga pelarian UNHCR yang gagal mematuhi dan menghormati undang-undang jalan raya negara ini.