
IPOH, 13 Jun – Seorang wanita berusia 23 tahun dipercayai pengsan ketika mendaki bersama 18 rakannya di Bukit Tunggal, Kampung Gajah sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba pada pagi Sabtu.
- Pasukan bomba tiba cepat, jalankan operasi menyelamat menggunakan scoop stretcher dengan bantuan polis dan membawa turun mangsa dengan selamat.
- Mangsa diserahkan kepada petugas KKM untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
- Bomba menasihatkan pendaki memastikan kesihatan baik, membawa bekalan air mencukupi dan memaklumkan laluan serta tempoh pendakian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.59 pagi.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Mohd Khairi Sulaiman melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan tiba pada pukul 9.12 pagi.
“Mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Operasi menyelamat dijalankan dengan membawa turun mangsa menggunakan scoop stretcher dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bomba menasihatkan orang ramai yang menjalankan aktiviti pendakian supaya memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik serta membawa bekalan air yang mencukupi sepanjang aktiviti.
Selain itu, pendaki juga disaran memaklumkan kepada rakan atau ahli keluarga mengenai laluan dan tempoh pendakian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.