
KEMAMAN, 13 Jun – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki tenggelam akibat ribut di perairan Kemaman kira-kira 27.9 batu nautika dari pantai, Rabu lepas diteruskan dengan bantuan sebuah helikopter.
- Sektor pencarian hari ketiga diperluas meliputi kawasan seluas 127.1 batu nautika.
- Helikopter AW139 milik JBPM digunakan untuk tinjauan udara membantu operasi.
- Operasi melibatkan APMM: bot Penggalang 16, KM Bagahak; PDRM menggerakkan PLC 3 dan dua bot awam.
- Mahadi diselamatkan nelayan lain; tekong Azan dan kru Nordin masih belum ditemui.
Pengarah Maritim Zon Kemaman Abdul Halim Hamzah memaklumkan sektor pencarian yang memasuki hari ketiga diperluas meliputi kawasan pencarian seluas 127.1 batu nautika.
“Helikopter jenis AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan bagi melaksanakan tinjauan udara untuk membantu operasi.
“Dalam masa sama, operasi melibatkan dua aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masing-masing, bot Penggalang 16 dan KM Bagahak, sementara PDRM menggerakkan bot PLC 3 serta dua bot awam,”katanya.
Kawasan pencarian telah diperluas dan bertumpu di perairan Kemaman hingga Kuala Terengganu.
Dalam kejadian Rabu lepas, sebuah bot nelayan yang dikendalikan tekong, Azan Muda, 68 tahun, dan dua kru, Nordin Mohammad, 61 tahun, dan Mahadi Jusoh, 51 tahun, tenggelam dalam kejadian ribut.
Bagaimanapun Mahadi diselamatkan nelayan lain di perairan Kemaman, Khamis lepas, manakala Azan dan Nordin masih gagal ditemukan sehingga petang ini.