Warga emas maut, kereta dipandu terbabas selepas serangan jantung

Keadaan kenderaan yang dipandu mangsa, Zainal Abidin Zakaria, 63, (foto kecil) selepas terbabit kemalangan di LPT2, semalam/ RTM

KEMAMAN, 13 September- Seorang warga emas maut manakala rakannya cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 319.4 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh, di sini, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu, Zainal Abidin Zakaria, 63, dipercayai mengalami serangan jantung semasa memandu menyebabkan kenderaan hilang kawalan.
  • Kenderaan melanggar dan bergesel dengan penghadang kiri, kemudian terseret kira-kira 44 meter sebelum berhenti.
  • Mayat dibawa ke Unit Forensik; bedah siasat mengesahkan serangan jantung dan kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mangsa, Zainal Abidin Zakaria, 63, yang merupakan seorang kontraktor dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar dan bergesel dengan besi penghadang di sebelah kiri jalan.

Kenderaan berkenaan kemudian terseret kira-kira 44 meter sebelum terhenti.

Zainal Abidin mengalami kecederaan pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Rakannya, Abdul Rahman Zakaria, 52, yang merupakan penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan.

Ketika kejadian kira-kira 4.15 petang itu, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Hulu Terengganu menuju Meru, Klang, Selangor.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman dan hasil bedah siasat yang dijalankan malam tadi mengesahkan mangsa mengalami serangan jantung.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.