
JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Lima pemilik syarikat dan seorang individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan borang pengesahan pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi butiran palsu kepada ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Batu Pahat, tahun lalu.
- Pertuduhan dikemukakan mengikut Akta SPRM 2009.
- Borang pengesahan pekerja Daya Kerjaya 2.0 didakwa mengandungi butiran palsu bagi tuntutan insentif PERKESO.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 hingga RM12,000 dan tetapkan sebutan semula pada 18 September.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Kanageswari dan didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mengikut pertuduhan, borang pengesahan pekerja berkenaan dikemukakan untuk dilampirkan dalam permohonan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 PERKESO.
Misni Arsad, 66 tahun, berdepan tiga pertuduhan, manakala Junizan Yacob, 48 tahun, menghadapi empat pertuduhan dan Mohd Izuan Sohaini, 44 tahun, dua pertuduhan.
Mohd Sam Anagin, 60 tahun, dan Norazlinah Mohamad Hassan, 43 tahun, masing-masing menghadapi satu pertuduhan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Sri Medan dan Parit Sulong antara 14 Mac hingga 11 Jun 2024.
Sementara itu, Datuk Rosli Buang, 554 tahun, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Mohd Sam Anagin, pemilik Sam Sri Kurnia Enterprise, untuk mengemukakan borang pengesahan pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi butiran palsu.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM8,000 hingga RM12,000 dan menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Lee Lee serta Pegawai Pendakwa Alice Voon dan Fazal Lisam Abidin.
Kesemua lima pemilik syarikat diwakili peguam Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik.