Tiga maut lori muatan ayam rempuh treler di Tanah Merah

Keadaan lori muatan ayam yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Timur Barat awal pagi tadi

TANAH MERAH, 21 Julai- Tiga maut membabitkan seorang pemandu dan dua kelindan lori ayam selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Batu 7, Batang Merbau, Lebuhraya Timur Barat, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenal pasti: Norazeman Abdul Aziz (42), Mohd Haikal Hanifah (29) dan Mohammad Zakwan Mohd Nor (16); disahkan meninggal di lokasi oleh KKM.
  • Pasukan bomba terima panggilan kecemasan pada 4.26 pagi dan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
  • Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan I Mat Nuri Mohamad berkata mangsa Norazeman Abdul Aziz, 42, selaku pemandu lori serta dua kelindan, Mohd Haikal Hanifah, 29, dan Mohammad Zakwan Mohd Nor, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.26 pagi.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan membawa bekalan ayam dari Perak ke Kelantan yang dipercayai merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan.

“Ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam lori dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menurut Mat Nuri, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata mayat ketiga-tiga mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah bagi proses bedah siasat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.