Suami isteri ditahan disyaki seludup migran, edar dadah

Suspek warga Indonesia ditahan di Pontian.

PONTIAN, 27 Januari – Pasangan suami isteri warga Indonesia ditahan, dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan migran dan pengedaran dadah bernilai hampir RM61,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasangan suami isteri warga Indonesia ditahan disyaki terlibat penyeludupan migran dan pengedaran dadah.
  • Rampasan termasuk 500 pil ekstasi (184.54g) dan 231.77g syabu bersama beberapa telefon bimbit.
  • Lelaki ditahan bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan, isteri ditahan bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen.
  • Ujian air kencing kedua-dua suspek positif methamphetamine; kes disiasat di bawah ADB 1952 dan Atipsom 2007.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, suspek berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kampung Parit Haji Yassin, Benut di sini, pada pukul 1.20 petang semalam.

Sindiket aktif sejak tahun lalu itu telah menjalankan tiga operasi penyeludupan migran melalui Sungai Boh, Serkat dan Pontian.

“Hasil tangkapan, beberapa barangan dirampas termasuk empat telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg sandang, satu paket lutsinar berisi pil ekstasi sebanyak 500 biji seberat 184.54 gram.

“Selain itu, polis juga merampas satu paket lutsinar mengandungi ketulan kristal dadah jenis syabu seberat 231.77 gram,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, lelaki berkenaan yang disyaki berperanan sebagai tekong darat ditahan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Manakala isterinya ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Tambah Hadzrat Hussien, hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.