
ALOR SETAR, 21 Julai – Tindakan seorang warga tempatan yang menyewakan motosikalnya kepada warga Rohingya pada kadar RM150 sebulan membawa padah apabila kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.
- Operasi JPJ di Jalan Dato Kumbar menyita motosikal susulan pemeriksaan.
- Penunggang gagal mengemukakan Lesen Memandu Kompeten yang sah semasa pemeriksaan kira-kira pukul 9 pagi.
- Siasatan mendapati motosikal itu disewa daripada penduduk tempatan untuk kegunaan harian.
- Motosikal disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987; JPJ beri amaran tindakan tegas terhadap pemilik yang menyewakan kepada pendatang asing tanpa izin.
Sitaan dilakukan menerusi satu operasi yang dijalankan di Jalan Dato Kumbar di sini.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan kira-kira pukul 9 pagi itu mendapati penunggang terbabit gagal mengemukakan Lesen
Memandu Kompeten (CDL) yang sah.
Siasatan seterusnya mendapati, motosikal yang ditunggang warga Rohingya berkenaan disewa daripada seorang penduduk tempatan untuk kegunaan harian.
Motosikal tersebut telah disita bagi tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
JPJ memaklumkan, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang membenar atau menyewakan kenderaan kepada pendatang asing tanpa izin yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.