101 pelajar terselamat dalam kebakaran asrama lelaki di Kulim

Foto JBPM Kedah

KULIM, 21 Julai – Seramai 101 pelajar terselamat selepas sebuah asrama lelaki dua tingkat di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, Jalan Pegawai, Kulim, Kedah, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua pelajar berkumpul di kawasan selamat sebelum bomba tiba dan tidak mengalami kecederaan.
  • PGO Kedah menerima panggilan kecemasan pada 2.47 pagi; anggota bomba dan unit Hi-Tech dikerahkan.
  • Kebakaran melibatkan kira-kira 65 peratus bahagian tingkat atas bangunan asrama.
  • Operasi pemadaman dikawal sepenuhnya pada 3.09 pagi; pemeriksaan 'overhaul' dijalankan; punca masih disiasat.

Kesemua pelajar berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, PPgB Abdul Mois Ahmad Mansur berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.47 pagi sebelum anggota dari BBP Kulim dengan bantuan BBP Kulim Hi-Tech dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Semua pelajar telah berkumpul di kawasan selamat sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

“Kebakaran melibatkan kira-kira 65 peratus bahagian tingkat atas bangunan asrama yang berukuran 30 x 100 kaki,” katanya.

Jelasnya, bagi operasi pemadaman, pasukan bomba menggunakan empat aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan.

“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta bantuan lori tangki daripada Pasukan Bomba Sukarela yang turut membantu memadamkan kebakaran,” katanya.

Menurut beliau, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.09 pagi.

“Kerja pemeriksaan dan ‘overhaul’ kemudiannya dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang,” katanya.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.