
KOTA BELUD, 25 Ogos – Seorang wanita berusia 42 tahun maut, manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori 10 tan membawa muatan pasir di Jalan Taman Nikmat, Kota Belud, pagi tadi.
- Pasukan bomba tiba pada 11.09 pagi dan mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
- Pemandu lori tidak berada di lokasi ketika pasukan bomba tiba.
- Operasi melibatkan tujuh anggota bomba tamat pada 12.18 tengah hari.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dua mangsa yang cedera, masing-masing remaja lelaki berumur 18 tahun mengalami cedera parah dan remaja perempuan 15 tahun cedera ringan.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun yang turut menaiki kenderaan sama, tidak mengalami kecederaan dan dibawa pulang oleh ahli keluarga.
Terdahulu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud tiba di lokasi pada pukul 11.09 pagi dan menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
Menurut pihak JBPM, pemandu lori berkenaan tidak berada di lokasi ketika pasukan bomba tiba.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba itu tamat pada pukul 12.18 tengah hari.