Tiga maut dalam kemalangan babit dua kenderaan di Kota Tinggi

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian./ JBPM

KOTA TINGGI, 25 Ogos – Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Tanjung Leman, Jalan Jemaluang, di sini, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai perubatan KKM mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal di lokasi kejadian.
  • Kemalangan melibatkan kereta Honda City dan Toyota Vios; mangsa berusia 21, 20 dan 31 tahun.
  • Pasukan operasi mengeluarkan semua mangsa menggunakan rescue cutter dan stretcher, sebelum diserahkan kepada polis.
  • Ketua Polis Daerah mengesahkan kejadian; kes dalam siasatan dan kenyataan media akan menyusul.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azlan Hamzah dalam satu kenyataan, berkata ketiga-tiga mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kemalangan melibatkan kereta jenis Honda City dan Toyota Vios. Ketiga-tiga mangsa, iaitu lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 20 tahun yang menaiki Honda City serta lelaki berusia 31 tahun yang menaiki Toyota Vios, disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan rescue cutter dan stretcher, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, pada pukul 5.05 petang.

Susulan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, digegaskan ke lokasi yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai tersebut.

Menurutnya lagi, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.59 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman dalam kenyataan berasingan mengesahkan kejadian, namun kes masih dalam siasatan dan kenyataan media akan menyusul kemudian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.