
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Taman Tema Sunway Lagoon memandang serius insiden yang berlaku di taman tema itu pada 22 Ogos lepas yang membabitkan 10 orang pengunjung.
- Sunway Lagoon amat prihatin terhadap pengunjung terjejas dan kesulitan yang dialami mereka serta keluarga.
- Bantuan perubatan telah disediakan dan pihak taman terus berhubung rapat dengan pengunjung serta keluarga mereka.
- Bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dijalankan.
- Komited memastikan tarikan dan fasiliti mencapai tahap keselamatan tertinggi bagi menjamin keyakinan pengunjung.
Dalam satu kenyataan hari ini, Sunway Lagoon berkata pihaknya amat prihatin terhadap pengunjung yang terjejas serta kesulitan yang dialami mereka dan keluarga.
Menurut kenyataan itu, keselamatan dan kesejahteraan pengunjung menjadi keutamaan pihak pengurusan, dengan tumpuan diberikan kepada penjagaan serta kesihatan pengunjung yang terlibat sejak insiden berkenaan berlaku.
“Bantuan perubatan yang diperlukan telah disediakan dan kami terus berhubung rapat dengan pengunjung-pengunjung dan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.
Sunway Lagoon turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan dapat dijalankan.
Pihak pengurusan juga bersedia meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa dan individu yang terlibat sepanjang proses siasatan.
Sunway Lagoon menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu serta komited memastikan semua tarikan dan fasiliti di taman tema berkenaan mencapai tahap keselamatan tertinggi, selain menjamin keselamatan dan keyakinan pengunjung.