
KUALA LUMPUR, 6 November – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah terancang di peringkat tempatan dan antarabangsa menerusi empat operasi agresif.
- Rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM27.6 juta dan sitaan aset hampir RM1 juta, menghalang bekalan kepada lebih 2.5 juta pengguna.
- Op Bittacidae rampas 385.38 kg methamphetamine bernilai RM19.26 juta; Op Eupeodes rampas 109.17 kg ganja dan sitaan aset.
- Op Eristalinus tumpaskan sindiket penyeludupan antarabangsa, tahan perekrut dan pembekal; Ops Khas San Peng tahan 143 individu, rampas 151.6 kg.
Operasi berkenaan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM27.6 juta dan sitaan aset hampir RM1 juta, sekali gus menghalang bekalan dadah yang berpotensi menjejaskan lebih 2.5 juta pengguna.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bersepadu itu berjaya memutuskan keseluruhan rantaian sindiket bermula daripada pembekalan, penyimpanan di stor transit, penyeludupan rentas sempadan hingga pengedaran mikro di kawasan komuniti.
“Menerusi Op Bittacidae di Pandan Perdana, polis merampas 385.38 kilogram (kg)Methamphetamine bernilai RM19.26 juta di sebuah rumah kedai yang menggunakan taktik serahan kenderaan tanpa kunci.
“Tindakan itu disusuli Op Eupeodes di Puchong Prima yang memintas rampasan 109.17 kg ganja bernilai RM327,600 dari sempadan Kelantan, di samping pelucuthakan pelbagai aset kenderaan dan barangan kemas bernilai RM126,062 di bawah kedua-dua operasi berkenaan,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL), di sini.
Mengulas mengenai operasi membanteras kegiatan penyeludupan dadah di peringkat antarabangsa, beliau berkata Op Eristalinus berjaya menumpaskan sindiket yang memperalatkan belia tempatan untuk menyeludup dadah ke Jakarta dan Tokyo dengan menyembunyikannya di dalam kasut.
Katanya, kerjasama risikan dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) membolehkan tindakan pencegahan khas (LLPK) diambil terhadap tiga perekrut.
Dalam operasi sama, polis turut menahan seorang pembekal warga asing bersama 450 gram kokain di Kuala Lumpur, sekali gus menyelamatkan dua lagi belia daripada dieksploitasi sebagai keldai dadah.
Sementara itu, di peringkat perumahan awam, seramai 246 pegawai dan anggota polis digerakkan dalam Ops Khas San Peng bagi membanteras kegiatan penagihan serta pengedaran dadah di kawasan Flat San Peng.
Sebanyak 91 serbuan dilakukan menerusi operasi itu dengan 143 individu ditahan, selain berjaya melumpuhkan tiga sindiket utama yang dikaitkan dengan individu dikenali sebagai Dinesh, Kumaresan dan Lavindran.
Operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan 151.6 kg dadah bernilai RM7.7 juta serta sitaan aset berjumlah RM828,000.
Menurut Datuk Hussein, kejayaan berkenaan membuktikan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi jenayah narkotik di setiap peringkat tanpa kompromi demi melindungi generasi masa depan.
Orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada JSJN menerusi talian 012-208 7222.