Kes vape dadah di Nilai: Dua remaja ditahan, pembekal utama diburu

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang media di PULAPOL KL

KUALA LUMPUR, 6 November – Polis menahan dua remaja, termasuk rakan sekolah kepada pelajar yang dipercayai khayal selepas menghisap vape mengandungi dadah di Nilai, Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangkapan melibatkan suspek berusia 17 tahun (rakan sekolah) dan seorang lelaki berumur 18 tahun.
  • Kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai perantara membekalkan vape mengandungi bahan terlarang kepada mangsa.
  • Polis sedang giat mengesan seorang lagi individu yang dipercayai pembekal utama vape berkenaan.
  • Mangsa disahkan positif ketamin, benzodiazepin dan THC; dirujuk kepada AADK mengikut Seksyen 3(1).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan melibatkan suspek berusia 17 tahun yang merupakan rakan sekolah mangsa, serta seorang lelaki berumur 18 tahun yang tidak bersekolah.

Siasatan awal mendapati kedua-dua individu berkenaan dipercayai bertindak sebagai perantara yang membekalkan vape mengandungi bahan terlarang kepada mangsa sebelum kejadian berkenaan tular.

“Kita sedang giat mengesan seorang lagi individu yang bertindak membekalkan vape berkenaan kepada kedua-dua mereka,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL), di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pelajar berusia 17 tahun itu positif tiga jenis dadah iaitu ketamin, benzodiazepin dan THC, susulan penularan rakaman video di aplikasi Threads yang memaparkannya dalam keadaan khayal di sebuah sekolah menengah di Nilai pada 28 Oktober lalu.

Pelajar terbabit sebelum ini dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Polis kini mempergiat siasatan bagi melumpuhkan rangkaian pembekalan cecair vape mengandungi dadah itu hingga ke peringkat akar umbi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.