
SUNGAI PETANI, 3 Mac – Polis mengesahkan kesemua suspek yang masih ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak kenderaan yang dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, minggu lepas mempunyai kaitan dengan “Geng Pak Su” yang dipercayai mendalangi aktiviti penyeludupan di sekitar sempadan Malaysia – Thailand.
- Polis sahkan suspek yang ditahan ada kaitan dengan "Geng Pak Su" yang dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan sempadan.
- Semua suspek mengaku terlibat dalam penyeludupan tetapi tidak mengaku menembak kenderaan Komander AKPS.
- Sepuluh suspek ditahan, termasuk wanita warga Thailand; siasatan masih diteruskan dan senjata belum ditemui.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata siasatan masih diteruskan.
Beliau berkata kesemua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan tiada pengakuan berhubung siasatan kes tembak berkenaan.
Katanya, sebarang maklumat yang diperolehi dari mangsa atau orang awam diselidik dan diambil tindakan.
“Antara sebab penahanan ini adalah untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan, yang diharapkan akan berkembang secara positif.
“Salah seorang suspek dikenal pasti disyaki mengikuti mangsa sejak kira-kira sebulan lalu, termasuk ketika mangsa pergi ke pejabat awal pagi dan ke masjid”, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Menurut Datuk Adzly, siasatan kes itu menunjukkan perkembangan positif sehingga membawa kepada penahanan 10 suspek termasuk wanita warga Thailand, pada 25 hingga 28 Februari lepas di beberapa lokasi sekitar daerah Kubang Pasu.*
Setakat ini, seorang daripada 10 daripada yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan dua hari lalu. Manakala baki suspek kebanyakannya akan tamat tempoh tahanan reman pada 5 Februari.
Katanya, senjata digunakan dua suspek lelaki bermotosikal yang cuba menembak mangsa SAC Mohd Nasaruddin M Nasir belum ditemui.
Dalam kejadian pukul 5.40 pagi, 25 Februari lepas, kereta dipandu SAC Mohd Nasaruddin ditembak di susur ke Masjid Al Muhajirin di Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.