
AYER KEROH, 25 Jun – Polis Melaka berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari China dan Korea menerusi penahanan 31 individu, dalam serbuan di sebuah banglo di Klebang.
- Serbuan dijalankan hasil risikan dan pemantauan polis; sindiket dipercayai beroperasi kira-kira dua bulan.
- Kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mencari dan memujuk mangsa menyertai skim pelaburan.
- Modus operandi termasuk tawaran pelaburan melalui Telegram, janji pulangan tinggi, dan arah mangsa muat turun aplikasi 'Hanwha'.
- Polis merampas komputer, telefon dan peranti rangkaian; kes disiasat bawah Seksyen 420 dan sindiket disyaki beroperasi lebih luas.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki warga China dan seorang wanita warga Korea berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Menurut beliau, serbuan dijalankan hasil risikan dan pemantauan polis terhadap kegiatan sindiket yang dipercayai beroperasi di negeri itu sejak kira-kira dua bulan lalu.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang bertanggungjawab mencari dan berhubung dengan bakal mangsa sebelum memujuk mereka menyertai skim pelaburan yang ditawarkan.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menawarkan pelaburan saham menerusi aplikasi Telegram dengan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.
Mangsa yang berminat kemudian akan diarahkan memuat turun aplikasi dikenali sebagai ‘Hanwha’ bagi meneruskan urusan pelaburan.
“Mangsa akan dimasukkan ke dalam kumpulan yang kononnya mempunyai ramai pelabur. Namun, sebenarnya hanya seorang mangsa berada dalam kumpulan tersebut manakala ahli-ahli lain adalah anggota sindiket.
“Mereka akan mempromosikan pelaburan itu dan mendakwa telah memperoleh keuntungan yang lumayan. Taktik ini digunakan bagi menarik mangsa untuk terus menambah jumlah pelaburan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah beliau, selepas mangsa membuat pelaburan, mereka akan dirujuk kepada kumpulan sindiket lain yang dipercayai beroperasi di lokasi berbeza bagi meneruskan proses penipuan dan memujuk mangsa membuat pembayaran tambahan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan sindiket termasuk 26 set komputer, 50 telefon bimbit, sebuah modem penghala (router), peranti sambungan internet serta set kunci dan alat kawalan jauh.
Siasatan juga mendapati kesemua suspek dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebelum menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Polis tidak menolak kemungkinan sindiket tersebut mempunyai rangkaian lebih besar yang beroperasi di beberapa lokasi lain dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.