
KOTA KINABALU, 8 Ogos – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.45 tan serbuk ketum bernilai kira-kira RM1.145 juta dirampas dalam operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di sebuah premis di Jalan Tuaran, semalam.
- Operasi dijalankan susulan maklumat risikan mengenai penyimpanan dan pengedaran serbuk ketum.
- Pemeriksaan premis dan sebuah lori menemui serbuk ketum yang telah diproses dan dibungkus untuk pengedaran.
- Empat individu ditahan untuk membantu siasatan, ujian saringan awal mendapati mereka negatif dadah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan bersama JSJN Sabah diteruskan.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan memaklumkan, operasi pada Khamis itu dijalankan susulan maklumat risikan berkaitan kegiatan penyimpanan dan pengedaran serbuk ketum.
“Pemeriksaan di premis dan di dalam sebuah lori menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang telah diproses dan dibungkus untuk tujuan pengedaran.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan melebihi RM1.4 juta,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi sama, empat individu terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ujian saringan awal mendapati kesemua mereka negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket yang terlibat.
PPM Wilayah 4 Sabah berkata, pihaknya akan terus memperkasakan risikan serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.