Berek anggota bomba Rom purba ditemukan berhampiran Colosseum

Foto REUTERS

ROME, 5 Ogos – Ahli arkeologi menemukan sebuah bangunan yang dipercayai dibina pada abad kedua, lengkap dengan mozek dan lukisan dinding, berhampiran Colosseum yang dipercayai pernah digunakan sebagai berek anggota bomba pada zaman Rom purba, menurut pejabat arkeologi bandar itu pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima daripada lapan bilik di Villa Celimontana telah digali sepenuhnya di Bukit Caelian.
  • Mozek menampilkan ikan lumba-lumba, ikan, udang kara dan ketam mengelilingi tempayan berkepala dua; siling dihiasi lukisan bulatan merah dan biru.
  • Reka bentuk mozek serupa dengan mozek di berek anggota bomba Ostia, menimbulkan hipotesis ia sebahagian Kumpulan Kelima Vigiles.
  • Alternatifnya ia mungkin domus bangsawan; hiasan terperinci menyokong kemungkinan itu, kata superintenden, perlukan penelitian menyeluruh.

Lima daripada lapan bilik di bangunan berkenaan telah digali sepenuhnya di Taman Villa Celimontana, iaitu bekas kediaman golongan bangsawan yang dibina sejak abad ke-16 di Bukit Caelian, yang merupakan antara tujuh bukit utama Rom purba.

Ahli arkeologi turut menemukan mozek yang memaparkan seekor ikan lumba-lumba, ikan, udang kara dan ketam mengelilingi sebuah tempayan besar bertangkai dua, selain sisa siling yang dihiasi lukisan bulatan besar berwarna merah dan biru.

Reka bentuk mozek itu mempunyai persamaan rapat dengan mozek yang pernah ditemukan di sebuah berek anggota bomba di Ostia, pelabuhan purba Rom yang terletak kira-kira 30 kilometer dari ibu negara Itali itu.

Penemuan berkenaan menimbulkan kemungkinan bahawa bangunan itu merupakan sebahagian daripada berek Kumpulan Kelima Vigiles, iaitu pasukan bomba Rom purba, menurut pejabat arkeologi yang dikenali sebagai superintenden.

“Jika hipotesis ini disahkan, penemuan itu dapat membantu menilai semula keluasan salah satu kompleks ketenteraan terpenting pada zaman empayar Rom,” menurut kenyataan pejabat berkenaan.

Pada era Empayar Rom, pasukan Vigiles bertanggungjawab memadam kebakaran serta menjaga ketenteraman awam pada waktu malam. Berek mereka yang terletak berhampiran bangunan di Villa Celimontana itu mendapat bekalan air daripada saluran air berhampiran.

Bagaimanapun, satu lagi kemungkinan ialah ahli arkeologi menemukan kediaman golongan bangsawan atau domus, yang serupa dengan banyak kediaman lain yang ditemui di Bukit Caelian.

Kehadiran hiasan yang begitu indah dan terperinci turut menyokong kemungkinan berkenaan.

“Hanya penelitian menyeluruh terhadap bahan ekskavasi dan struktur yang telah didedahkan akan memberikan maklumat lanjut mengenai struktur yang baru ditemukan itu,” menurut superintenden.

Kerja-kerja penggalian tersebut dibiayai menerusi dana pemulihan ekonomi pasca-COVID-19 Kesatuan Eropah (EU). – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.