
OKINAWA, 8 Ogos – Taufan Dolphin melanda wilayah Okinawa di selatan Jepun pada Sabtu; menyebabkan lima orang cedera dan bekalan elektrik terputus di kira-kira 14,000 bangunan, manakala China menutup pelabuhan serta laluan feri menjelang ketibaan ribut berkenaan di pantai timurnya.
- Taufan kira-kira 160 kilometer barat laut Pulau Kume, bergerak ke arah barat laut pada 15 kilometer sejam.
- All Nippon Airways dan Japan Airlines membatalkan penerbangan ke rantau yang terjejas.
- China menjangka taufan melanda antara Zhoushan dan Fuding lewat Ahad hingga awal Isnin, hujan lebat dan angin dijangka sehingga 12 Ogos.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, taufan berkenaan berada kira-kira 160 kilometer di barat laut Pulau Kume, Okinawa, setakat pukul 3.00 pagi waktu tempatan dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 15 kilometer sejam.
Kerajaan wilayah Okinawa memaklumkan lima warga emas mengalami kecederaan, dengan tiga daripada mereka terjatuh akibat tiupan angin kencang.
Syarikat penerbangan domestik, All Nippon Airways (ANA) dan Japan Airlines, turut membatalkan penerbangan ke rantau berkenaan.
Sementara itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan China memaklumkan Taufan Dolphin dijangka melanda pantai timur dan selatan China antara lewat Ahad (9 Ogos) hingga awal Isnin (10 Ogos), kemungkinan besar antara bandar Zhoushan di wilayah Zhejiang dan bandar Fuding di wilayah Fujian.
Hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan timur China sehingga 12 Ogos, termasuk beberapa kawasan di Shanghai dan wilayah berdekatan.
Menurut ramalan cuaca, beberapa kawasan di timur Zhejiang berpotensi menerima taburan hujan melebihi 600 milimeter.
Zhejiang meningkatkan amaran taufan di kawasan pantainya ke tahap tertinggi, selain menghentikan operasi pelabuhan dan menggantung 162 laluan feri penumpang. -REUTERS