
BUKIT MERTAJAM, 12 Oktober – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM727,351 serta menahan dua lelaki warga asing dalam serbuan di Kubang Semang, Jumaat lalu.
- Rampasan melibatkan 7,860.64 liter minuman keras dan 180,000 batang rokok putih pelbagai jenis di sebuah premis tidak bernombor.
- Suspek direman 10 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
- PPM Wilayah Satu merekodkan 2,042 kes tangkapan tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan RM174.64 juta.
Komander PPM Wilayah Satu, ACP Jaffri Bidin dalam kenyataannya berkata, rampasan melibatkan 7,860.64 liter minuman keras dan 180,000 batang rokok putih pelbagai jenis di sebuah premis tidak bernombor.
“Serbuan oleh Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang itu dilakukan susulan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai di kawasan berkenaan.
“Kedua-dua suspek berusia 28 dan 36 tahun itu direman selama 10 hari bermula 10 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jaffri, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Operasi Khas Komander PPM Wilayah Satu Bilangan 6/2026 dari 6 hingga 11 Oktober, melibatkan dua pegawai kanan polis dan tujuh pegawai rendah polis.
Sementara itu, PPM Wilayah Satu merekodkan 2,042 kes tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini, dengan nilai rampasan keseluruhan RM174.64 juta.
Tambahnya, PPM akan terus memperkukuh risikan serta kerjasama dengan pelbagai agensi bagi membanteras penyeludupan barangan tidak bercukai dan barangan salah, khususnya melalui laluan laut.