
SUBANG JAYA, 8 Julai – Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan dan merusuh yang mengakibatkan tiga lelaki cedera di sebuah kafe di Bandar Sunway dekat sini awal pagi tadi.
- Laporan diterima pada 6.16 pagi.
- Pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham; tiga lelaki cedera ringan dan mendapatkan rawatan di hospital.
- Polis menjalankan pemeriksaan tempat kejadian, merakam keterangan saksi dan memperoleh rakaman kamera litar tertutup; kes disiasat di bawah Seksyen 148.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 6.16 pagi.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan kumpulan lelaki yang berada di lokasi itu sebelum tercetusnya pergaduhan.
“Akibat kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan polis menjalankan pemeriksaan menyeluruh di tempat kejadian, merakam percakapan saksi kejadian serta memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan insiden itu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.