PGA rampas e-waste, komponen industri bernilai RM6.48 juta dalam Op Hazard

Foto PGA

KUANTAN, 23 Jun – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sisa elektronik (e-waste) dan pelbagai barangan bernilai lebih RM6.48 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Gambang, di sini semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan 27 tahun mengaku pengurus kilang ditahan selepas gagal kemukakan dokumen pemilikan barangan di premis.
  • Op Hazard dilakukan susulan intipan oleh Cawangan Risik Batalion 7 PGA dengan bantuan JAS Pahang, MBK dan KPDN.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bekalan 1961, Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 2 Undang-Undang Kecil Pelesenan.

Dalam operasi yang dilaksanakan kira-kira pukul 3 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang mengaku sebagai pengurus kilang turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan barangan yang disimpan di premis berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan Op Hazard dilakukan susulan intipan oleh Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut beliau, pemeriksaan menemukan pelbagai barangan termasuk 20 tan sisa elektronik, 8,000 liter minyak transformer, 400 liter diesel, 40 unit lampu tekanan tinggi natrium wap (HPSV), 30 unit suis gear Ring Main Unit (RMU) dan 10 unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter.

Foto PGA

“Turut dirampas lima guni jumbo papan induk komputer seberat lima tan, 15 guni jumbo barangan elektronik seberat 15 tan serta satu guni tembaga seberat 550 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan penyedut minyak dan pelbagai komponen elektrik lain dianggarkan berjumlah RM6,489,340.

Siasatan awal mendapati semua barangan tersebut dipercayai milik sebuah syarikat yang beroperasi di Pengkalan Chepa, Kelantan dan dibawa ke lokasi berkenaan untuk proses peleraian komponen sebelum dihantar semula ke premis syarikat terbabit.

Ahmad Radzi berkata premis itu dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan sementara serta menjalankan aktiviti tanpa lesen dan permit yang sah.

Menurut beliau, diesel yang dirampas telah diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut manakala bahan buangan elektronik diserahkan kepada JAS Pahang bagi tujuan siasatan.

MBK pula akan mengambil tindakan menyita semua barangan di premis berkenaan kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bekalan 1961, Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 2 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 1992.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.