Pemandu e-hailing ditahan bantu siasatan kes pukul bekas isteri

Foto hiasan

KAJANG, 23 Jun – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat kes memukul bekas isterinya di kawasan parkir awam berhampiran Balai Polis Bandar Baru Bangi, susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek merupakan bekas suami mangsa.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 323 (sengaja menyebabkan kecederaan) dan Seksyen 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan.
  • Jika sabit, Seksyen 323: penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000; Seksyen 506: penjara sehingga dua tahun atau denda.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pemandu e-hailing ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada kira-kira 6.20 petang semalam.

Menurut beliau, polis sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 21 Jun lalu, selain mengesan rakaman video yang tular di platform Threads dan dipercayai memaparkan insiden tersebut.

“Siasatan mendapati suspek merupakan bekas suami mangsa dan dipercayai terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 323, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 pula, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.