
TANAH MERAH, 9 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,681 kilogram (kg) beras dan beras pulut bernilai RM15,474 serta menahan seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Lalang Pepuyu, malam Selasa.
- Serbuan dibuat hasil maklumat risikan mengenai kegiatan penyeludupan beras di kawasan berkenaan.
- Suspek mengaku menyimpan beras di stor dan terbabit penyeludupan sejak kira-kira dua tahun, mengupah penduduk tempatan memunggah bekalan.
- Kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan beras di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas lelaki berusia 50 tahun itu menemukan satu anak kunci stor simpanan beras.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku menyimpan beras di dalam sebuah stor bersebelahan rumahnya. Pemeriksaan lanjut di stor itu menemukan 3,431kg beras dan 250kg beras pulut dengan nilai keseluruhan RM15,474.
“Suspek turut mengaku terbabit dalam kegiatan penyeludupan beras sejak kira-kira dua tahun lalu dengan mengupah beberapa penduduk tempatan memunggah bekalan beras dari pangkalan haram di kawasan Lalang Pepuyu ke stor miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, beras yang diseludup itu dipercayai dijual kepada peniaga kedai runcit di sekitar Tanah Merah.
Katanya, suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bukit Bunga untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.