41 kes penipuan tiket konsert BTS, kerugian lebih RM95,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR 9 Jun – Sebanyak 41 kes direkodkan melibatkan penipuan tiket konsert Kumpulan BTS dengan jumlah kerugian mencecah RM95,974.

RINGKASAN BERITA AI
  • FOMO peminat mendorong ramai menjadi mangsa penipuan pembelian tiket konsert.
  • Sindiket guna media sosial tawarkan tiket VIP, Soundcheck, Priority; tunjuk tangkap layar palsu dan minta bayaran segera melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR.
  • Nasihat: beli tiket hanya melalui saluran rasmi, semak akaun bank di portal Semak Mule dan hubungi NSRC di talian 997 jika mengesyaki penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan memaklumkan, perasaan takut ketinggalan atau fear of missing out (FOMO) dalam kalangan peminat tegar kumpulan K-pop dikenal pasti antara punca utama ramai menjadi mangsa penipuan pembelian tiket konsert berkenaan.

“Berdasarkan trend semasa, JSJK menilai risiko penipuan berkaitan tiket konsert BTS yang membimbangkan dan dijangka meningkat selepas tiket rasmi habis dijual berikutan permintaan tinggi serta faktor FOMO dalam kalangan peminat.

“Pemantauan yang dijalankan mendapati sindiket atau scammer menggunakan platform media sosial untuk menawarkan tiket konsert, khususnya tiket kategori VIP, Soundcheck dan Priority Access,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, modus operandi sindiket termasuk menawarkan tiket sebelum jualan rasmi, mendakwa mempunyai akses dalaman atau kuota khas, serta menggunakan tangkap layar palsu sebagai bukti tempahan.

Penjenayah kemudiannya akan mengarahkan mangsa membuat bayaran segera melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR bagi tujuan kononnya untuk ‘mengunci’ tempahan tiket sebelum menghilangkan diri bersama duit mangsa.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membeli tiket hanya melalui saluran rasmi yang diumumkan oleh penganjur atau ejen jualan yang sah.

“Jangan membuat bayaran kepada individu yang menawarkan tiket melalui media sosial tanpa pengesahan yang sah dan tidak mudah mempercayai dakwaan memiliki akses khas, kuota dalaman atau tiket sebelum jualan rasmi dibuka.

“Pastikan semak kesahihan akaun bank dan nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi dan menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 dengan segera sekiranya mengesyaki ditipu,” tambah kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.